Menilai semula matlamat hidup Oleh Ashraf Muslim

Menilai semula matlamat hidup
Oleh Ashraf Muslim

Rancang membina kehidupan lebih baik di akhirat

APAKAH matlamat hidup kita? Ia satu persoalan besar yang ada sesetengah kita sudah menemui jawapannya dan masih ada yang tercari-cari, seperti juga saya walaupun banyak perkara dirancang berjaya dipenuhi dalam kehidupan ini.

Secara jujurnya, masih ada persoalan dalam diri yang masih kabur khususnya membabitkan kehidupan apabila rutin yang sama dilalui setiap hari seolah-olah tiada akhirannya atau mungkin jawapannya sudah ada depan mata tetapi saya sendiri tidak menyedarinya.
Ceramah imam jemputan dari Mesir untuk solat sunat tarawih di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, baru-baru ini seakan-akan mengetuk pemikiran saya untuk menilai semula matlamat hidup saya (khususnya) dan kita (hamba Allah di dunia ini umumnya).
Katanya, apa yang kita lakukan seharian termasuk bekerja untuk mencari rezeki, melakukan amal ibadat serta apa saja aktiviti hanyalah sekadar memenuhi tuntutan kehidupan tetapi apakah makna hidup yang sebenarnya, masih ramai yang tidak memahami hakikat itu.

Pada saya ada benarnya kata-kata imam berkenaan kerana kebanyakan kita sering berasakan diri tiada kehidupan. Jika tidak, masakan ada yang masih lagi berkata I don’t have a life. Apakah kehidupan yang dimaksudkan atau yang masih dicari-cari itu?

Hasrat saya ketika tekad mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia seni dan menumpukan perhatian kepada kerjaya baru sebagai pengamal perubatan Islam menggunakan mukjizat al-Quran ialah untuk membantu mereka yang memerlukan, penghidap pelbagai penyakit yang sedang mencari penawar.

Mukjizat al-Quran sebagai elemen utama dalam proses rawatan juga saya lihat boleh dijadikan sebagai wadah untuk menyebarkan syiar Islam, mendekatkan masyarakat dengan al-Quran dan secara tidak langsung menimbulkan minat mereka mempelajari kaedah membaca al-Quran yang betul.
Begitu juga cita-cita warga Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk menubuhkan hospital suatu hari nanti, tujuannya jelas sebagai usaha memartabatkan kitab dan wahyu Allah yang sepatutnya menjadi panduan hidup setiap insan.

Namun, secara peribadi saya masih terasa ada lompang sehingga kata-kata imam itu terus terngiang dan menusuk hati menyedarkan saya semua itu perlu menuju satu matlamat hakiki iaitu mencari keredaan Allah dan mencapai kebahagiaan di akhirat nanti. Sudah tentu syurga yang kita cari.

Itulah matlamat akhir kepada kehidupan di dunia iaitu membina kehidupan lebih baik di akhirat. Justeru, bagi mencapai kejayaan di akhirat, kita terlebih dulu perlu berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Itulah kehidupan sepatutnya mewarnai hari-hari yang kita lalui.

Tidak salah untuk kita berusaha mengumpul harta di dunia ini jika itulah yang kita sedang usahakan sekarang tetapi biarlah ia dilakukan berpandukan syariat serta tidak sekali-kali melanggar hukum Allah. Pada masa sama, hak orang lain pada harta kita itu tidak dinafikan.

Tidak kira apa juga kerjaya kita atau bentuk kehidupan yang dilalui, tujuan akhirnya ialah untuk meraih syurga dan semua mengakui ia bukan perkara mudah untuk dilakukan.

Saya sendiri hingga hari ini masih tertanya-tanya apakah ceramah itu satu kebetulan yang memberi jawapan terhadap persoalan yang bermain dalam diri. Apa pun, saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk mendengar mesej disampaikan imam dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kehidupan saya menjurus ke arah mencapai kejayaan di akhirat dan meraih syurga, dengan izin Allah nanti.

Sekarang sudah jelas bahawa setiap yang kita lakukan kerana Allah. Puasa sepanjang Ramadan ini niat ikhlas kerana Allah. Jika itu hakikatnya, maka kita tidak akan merasakan puasa yang mengehendaki kita berlapar dari Subuh hingga Maghrib nanti sebagai satu beban, sebaliknya usaha kita mencari kejayaan hidup di akhirat.

Yang pasti untuk berjaya bukan mudah, jadi usaha gigih serta keazaman diperlukan kerana hidup manusia tidak terlepas daripada dugaan. Pasti dalam kita membina kehidupan menuju kejayaan di akhirat, akan datang pelbagai cubaan yang memerlukan kita bersedia menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan (saja) menyatakan: Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2)

Doa menjadi senjata umat Islam dan satu lagi perkara saya pelajari ialah kita terlalu banyak meminta tetapi ada perkara yang lupa kita hendak minta iaitu keampunan terhadap dosa serta kesilapan yang kita lakukan. Oleh itu, sebelum kita berdoa dan meminta yang macam-macam dari Allah, apa kata kita mohon keampunan serta kehidupan lebih baik di akhirat terlebih dulu.

Alhamdulillah, kini saya boleh fokus terhadap bentuk kehidupan yang ingin saya lalui serta ke arah mana kehidupan ini hendak dituju. Semoga kita semua akan memperoleh kejayaan hidup di dunia dan di akhirat serta tergolong dalam golongan yang akan meraih syurga Allah.

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, doa yang sering dibaca Nabi SAW ialah: “Ya Allah, ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ahmad)

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails