Berusaha sendiri dalami ilmu

Sumber: Metro
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

Pada awalnya penggubah bunga berasal dari Kelantan, Roslan Razali, mengambil jurusan Ijazah Seni Persembahan di Universiti Malaya pada 1998.
Selepas tamat pengajian pada 2001, dia berasa graduan lepasan ijazah ketika itu sukar mendapat peluang pekerjaan. 
Situasi berkenaan menyebabkan Roslan mencuba nasib dalam bidang gubahan bunga untuk hotel, memandangkan lokasi itu paling banyak memerlukan hiasan bunga. 

“Walaupun secara khususnya saya tidak mengambil sebarang kursus di bidang kemahiran mengenai bunga, saya berjaya memohon kerja sebagai penggubah bunga di sebuah hotel sekitar Kuala Lumpur.

“Memahami keadaan saya yang tidak pernah mengambil kursus menggubah bunga, pihak hotel menyediakan seorang tenaga pengajar untuk memberi tunjuk ajar mengenai gubahan secara asas saja,” katanya.

Disebabkan minat dan perasaan ingin mencuba dalam bidang itu berkobar-kobar, dia melakukan pelbagai kajian untuk mempelajari teknik terbaru daripada banyak sumber seperti majalah dan Internet. 

Berpengalaman sembilan tahun dalam bidang ­gubahan bunga, ia bukanlah udah bagi dirinya untuk mengecap kejayaan seperti hari ini kerana Roslan berusaha sendiri mendalami ilmu di bidang berkenaan. 

“Saya juga gemar mencuba idea sendiri dan banyak mengunjungi hotel di sekitar Kuala Lumpur serta pasar raya yang menggunakan banyak dekorasi bunga-bungaan. 

“Ini kerana saya percaya minat saja tidak mencukupi untuk terus berjaya tanpa disertai daya usaha serta kreativiti yang dianugerahkan Allah. 

“Usah takut untuk mencuba idea baru dalam berkarya, begitu juga dalam bidang ini. Pada saya, kita harus sentiasa menonjolkan sesuatu yang baru dan segar untuk pergi lebih jauh,” katanya yang turut berpengalaman sebagai panel untuk merangka latihan kemahiran dikelolakan Kementerian Sumber Manusia. 

Latihan berkenaan diadakan bertujuan menjadikan bidang gubahan bunga sebagai salah satu kursus khas untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Lazimnya, kita mempunyai idola untuk memotivasikan diri sendiri melakar kejayaan. Tidak ketinggalan bagi Roslan yang menjadikan Perston Belly sebagai idolanya kerana penggubah itu mampu menghasilkan seni dekorasi yang setanding dengan kehebatan rekaan arca atau lukisan tangan. 

Tambahnya, melihat perkembangan bidang gubahan bunga sejak dulu hingga ke hari ini, Roslan berpendapat bidang itu sebenarnya dapat membantu mereka untuk meningkatkan sumber ekonomi kerana banyak peluang di depan mata. 

Sama ada membuka perniagaan, menjadi perancang majlis atau penggubah bunga di hotel, segalanya boleh dicuba. 

Mengenai kerjaya di bidang gubahan bunga di negara ini, Roslan mengakui kagum dengan perkembangan yang memberangsangkan pada masa kini. 

“Saya kagum dengan semua pengubah bunga yang ada sekarang tidak mengira bangsa atau kawasan kerana masing-masing bijak melontarkan idea berbeza. 

“Tidak kurang juga ada yang suka meniru idea ­gubahan sedia ada. Namun berdasarkan kajian dilakukan Persatuan Penggubah Bunga Malaysia, negara ini mempunyai penggubah bunga yang kreatif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Jelasnya, gubahan bunga juga berkait rapat dengan bahagian landskap dan hiasan dalaman, sekali gus menunjukkan bidang ini begitu luas untuk diterokai. 

Baginya, dia akan terus menambah ilmu berkaitan kerjaya di bidang itu dan mempelajari cara untuk merancang majlis serta konsep gubahan bunga untuk setiap bangsa. 

“Masyarakat kita ada pelbagai bangsa dan ternyata mereka lebih gemar dengan campuran warna mengikut budaya serta pilihan masing-masing. 

“Misalnya, gubahan bunga yang besar dalam bentuk bulat begitu digemari oleh masyarakat kita, mungkin disebabkan ia kelihatan mewah dan lebih menyerlah. 

“Bunga segar begitu ­diutamakan. Malah jika seseorang itu ingin menjadi perancang majlis, secara tidak langsung mereka perlu ada ilmu mengenai bunga dan konsep gubahan,” jelasnya. 

Antara syarat sebelum menggubah atau menyusun atur bunga segar, seseorang itu perlu merancang bentuk diingini terlebih dulu. 

Sama ada berbentuk ­tinggi, rendah, segi tiga, ­bulat atau empat segi, ­penggubah bunga juga perlu memikirkan jenis dan saiz bunga yang digunakan. 

Gubahan akan bertambah menarik apabila ia turut disokong dengan hiasan tambahan lain seperti ranting, daun kering dan pin kertas mengikut kreativiti masing-masing. 

Melalui cara itu, ia membantu kita untuk mendapatkan gubahan bunga yang kemas, cantik dan unik.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails