Suami berkira
Berbuat kebaikan kepada
isteri sebenarnya menjadi pengukur tahap keimanan, ketakwaan suami di sisi
Allah SWT
04
Disember 2014 3:29 PM
15 0 Google +0
SUAMI adalah tunggak dalam sesebuah rumah tangga. – Gambar
hiasan
ROSNAH termenung panjang memikirkan apa yang
diperkatakan oleh ustazah tadi. Ceramah ringkas yang disampaikan itu
benar-benar terkena batang hidungnya. “Macam tahu je ustazah ni,” bisik hati
kecil Rosnah.
Namun, isi ceramah ustazah tersebut cukup membuatkannya tertarik
untuk duduk sehingga selesai majlis. Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh
ustazah tersebut. Selama ini dia hanya diam membisu. Tidak berani hendak
meminta itu dan ini.
Kata-kata suaminya masih terngiang-ngiang di telinganya. “Kau
dah cukup baik. Dalam rumah ini segala keperluan makan dan minum sudah aku
sediakan. Tak perlu lagi duit belanja,” begitu tegas suara si suami.
Lama sudah Rosnah memikirkan hal ini. Benarkah begitu? Dan hari
ini dia temui jawapannya. Memang benar, sekalipun suami telah menyediakan
keperluan makan dan minum yang dikatakan sebagai nafkah, namun suami perlu ada
sikap ihsan kepada isteri dengan membekalkan sedikit wang untuk isteri berbelanja.
Kata ustazah itu lagi, selama ini tugas isteri sebagai suri
rumah tidak pernah dibayar. Isteri akan melakukannya dengan sukarela dan lebih
penting daripada itu, untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Bukan itu sahaja, si suami harus bersyukur kerana tugas-tugas
yang sepatutnya dilakukan oleh suami telah diambil alih oleh isteri. Daripada
memasak, mengemas, menjahit, menjaga anak, membasuh sehingga menggosok baju,
semuanya dipikul oleh insan yang bergelar isteri dan ibu.
Justeru, menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah dalam
bentuk wang ringgit, sekalipun si suami telah menyediakan keperluan makan dan
minum di rumah. Hatta, sekiranya isteri juga bekerja, duit belanja perlu
diberikan sebagai salah satu tanggungjawab memberi nafkah. Sedikit atau banyak,
kata ustazah, terpulang kepada kemampuan suami tetapi biarlah ia bersesuaian.
Fikiran Rosnah terus melayang. Selama ini sejak 20 tahun
mendirikan rumah tangga, tidak ada satu sen pun yang diterima daripada suami.
Rosnah masih ingat, hanya sekali dia pernah merasa pemberian daripada suami,
iaitu tatkala menerima wang mas kahwin. Itulah yang pertama dan mungkin juga
yang terakhir. Itu pun bukannya nafkah tapi mas kahwin.
Pernah juga Rosnah terfikir untuk membeli barangan keperluan
diri. Namun apakan daya, duit tiada di tangannya. Minta pada suami? Dalam
setahun adalah hanya dua pasang baju yang diterima. Bukan Rosnah tidak
bersyukur. Tapi dalam keadaan tertentu, apabila duit tiada di tangan, banyak
perkara akan menjadi buntu.
Pernah suatu ketika, anaknya demam panas. Risau dengan keadaan
tersebut, Rosnah membawa anaknya ke klinik sementara menunggu suami pulang.
Dengan tebal muka, Rosnah meminta kepada doktor yang merawat anaknya untuk dia
‘berhutang’ dahulu.
Janji Rosnah, apabila suaminya pulang, suaminya akan
membayarnya. Mujur doktor memahami. Begitu juga keperluan dapur yang lain. Ada
kalanya Rosnah perlu berhutang dan kemudiannya dibayar oleh suaminya.
Hal-hal sebegini sebenarnya merumitkan Rosnah, bahkan
menimbulkan rasa malu pada dirinya. Itu belum lagi kalau keluarga Rosnah datang
menjenguk. Teringin juga menghulurkan duit kepada kedua ibu bapa yang mahu
pulang semula ke kampung. Namun, apa yang harus diberikan? Duit bukan di
tangannya.
Pernah Rosnah menyuarakan hal tersebut kepada suami. Namun,
suaminya tidak mengambil kisah pun. Dia kata, dia sudah jalankan tanggungjawab
sebagai suami termasuklah memberi nafkah kepada isteri dan keluarganya. Apa
lagi yang mahu Rosnah katakan.
BERKAHWIN bunyinya seronok tapi hakikat sebenar hanya diketahui
oleh orang yang mengalaminya sahaja. Benarlah kata orang tua, berat mana
memandang berat lagi bahu yang memikul. Bahkan, kehidupan berumah tangga
diumpamakan bahtera yang belayar di tengah lautan. Jika cekap nakhodanya,
selamatlah pelayaran tersebut sekalipun berhadapan ombak yang bergelora.
Demikianlah juga situasinya dalam berumah tangga. Suami ibarat nakhoda yang
bertanggungjawab memastikan sepanjang perjalanan menuju ke destinasi berada
dalam keadaan selamat dan tidak memberi kesan yang buruk kepada penumpangnya.
Inilah perumpamaan sebuah rumah tangga walaupun ia hanya sebuah
bangunan yang terdiri daripada atap, lantai, dinding dan struktur yang
dibangunkan. Namun jika asas tapaknya tidak kukuh pasti akan mendatangkan
musibah yang merosakkan. Bahkan, mengakibatkan penghuninya sentiasa dalam
ketakutan dan dilanda kebimbangan.
Sebagai ketua dalam rumah tangga, suami bertindak sebagai
pembuat keputusan keluarga. Namun, bukan semua keputusan itu dibuat dengan
kuasa yang ada. Suami perlulah mempunyai kebijaksanaan untuk membuat
pertimbangan dalam semua aspek keperluan keluarga. Sebagai contoh tentang
penyediaan nafkah keluarga. Suami bertanggungjawab menyediakan kemudahan asas
untuk keluarga. Bahkan ada ketikanya bukan hanya melibatkan isteri dan anak-anak
sebaliknya keluarga kepada isteri yang dikahwini, khususnya ibu dan bapa
mentuanya.
Itu belum lagi melibatkan ahli keluarga yang lain seperti
adik-beradik, ipar-duai dan juga saudara jauh dan dekat. Walaupun kedengaran
berat apa yang perlu dipikul oleh seorang suami namun jika betul pengurusannya
ia akan mendatangkan kebahagiaan kepada semua.
Realiti di alam rumah tangga, suami mahu atau tidak, perlu
melakukan sesuatu perkara dengan pertimbangan yang wajar. Ia merangkumi
pergaulan dengan isteri dan ahli keluarga dengan cara yang terbaik. Sesuai
dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: Gaulilah isterimu dengan
cara yang baik, kemudian jika tidak menyukai mereka (isteri) maka bersabarlah
kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, pada hal Allah menjadikan padanya
kebaikan yang sangat banyak. (an-Nisa’: 19)
Sementara hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan:
Sesempurna iman seseorang mukmin ialah apabila ia paling baik akhlaknya dan
lemah lembut kepada isterinya.” Kedua- dua sumber ini menyebut, melakukan
kebaikan kepada isteri itu menjadi pengukur tahap keimanan dan ketakwaan
seseorang di sisi Allah SWT.
Bukan itu sahaja, suami diperintahkan oleh Allah agar berlaku
adil terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan hak isteri dan keluarga seperti
mana dalam kisah di atas. Walaupun isteri bekerja dan mempunyai hartanya
sendiri, suami tidak boleh mengabaikan pemberian nafkah tersebut kerana isteri
mempunyai hak terhadapnya disebabkan ketaatannya kepada suami.
Ketaatan isteri pula bukanlah semata-mata mengikut apa sahaja
yang diperintahkan oleh suaminya walaupun suruhan itu bertentangan dengan
kehendak Allah dan agama. Jika suami menyuruh isteri melakukan perkara yang
dilarang dan berbentuk maksiat, isteri ada hak untuk menolaknya dengan hikmah.
Apatah lagi dalam soal akidah.
Namun ramai suami hari ini mengambil jalan mudah dengan
beranggapan apabila isteri bekerja dan mempunyai wang sendiri, suami tidak
perlu memberinya. Sementelah isu isteri tidak meminta atau mengharapkan
pemberian suami merupakan satu lagi fenomena yang berlaku kerana berkemungkinan
isteri sudah letih atau bosan dengan sikap suami yang tidak mengendahkan
keperluan mereka.
Bagi isteri jika suami faham dan tahu tanggungjawabnya, isteri
tidak perlu meminta-minta kerana isteri juga belajar untuk tahu kemampuan
suaminya. Jika suami boleh berbelanja untuk keperluan peribadinya seperti
memenuhi hobinya sudah pasti isteri merasakan suami tidak berlaku adil terhadap
hak dirinya.
Justeru, suami yang beriman dan sedar akan sentiasa bersikap
sederhana terhadap keluarga. Jika terlalu melayani kehendak isteri dan
anak-anak sehingga timbul masalah perbelanjaan atau pembaziran, suami dianggap
tidak bijak mengurus dengan berhemah.
Sebaliknya jika suami terlalu berkira dengan setiap sen yang
dibelanjakan, isteri dan anak-anak akan merasa tekanan kerana suami tidak
ikhlas menjalankan tanggungjawabnya kepada keluarga.
Justeru, jadilah suami dan bapa yang penyayang dan bukan hanya
tahu menggunakan kuasa mutlak seorang suami sehingga ada hati yang dilukai.
Tip kaunselor
KEBAHAGIAAN perkahwinan
dan alam rumah tangga menjadi dambaan dan idaman setiap pasangan. Tip kaunselor
kali ini diharap dapat membimbing para suami menjalankan tanggungjawab kepada
keluarga dengan sempurna.
1Suami adalah tunggak
keluarga. Pepatah Cina menyebut busuknya seekor ikan bukan daripada ekornya
tapi daripada kepalanya. Kata-kata ini menggambarkan kebaikan atau keburukan
sebuah keluarga bermula daripada kepimpinan seorang suami yang
dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan keluarga dengan sebaiknya agar semua
ahli menikmati kebaikan hasil kebijaksanaannya.
2Sebagai ketua keluarga
suami bukan sekadar menyediakan tempat berteduh, sebaliknya perlu menyediakan
segala keperluan zahir dan batin. Keperluan zahir seperti makan minum, pakaian,
kemudahan pengangkutan keluarga dan juga persekitaran yang selamat. Manakala
keperluan batin merangkumi kasih sayang, perhatian, bimbingan dan kefahaman
untuk dihargai.
3 Suami dan bapa yang
bertanggungjawab sama sekali tidak akan membiarkan keluarga dalam keadaan
kesukaran. Walaupun terpaksa melalui cabaran dan dugaan, suami perlu berusaha
segigih mungkin untuk memenuhi segala hak dan tuntutan keluarga dengan
sebaiknya.
4 Apabila suami dilihat
bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk menjalankan tanggungjawabnya pasti
isteri dan anak-anak akan memahami apa yang dilakukan. Bahkan, isteri dan
anak-anak akan turut membantu mencari jalan agar setiap masalah dalam keluarga
dapat diselesaikan bersama-sama.
5 Suami perlulah ikhlas
dan tulus dalam tindakan dan perkataan. Anggaplah apa yang dibelanjakan untuk
keluarga sebagai sedekah di jalan Allah. Pasti amalan yang dilakukan dengan
ikhlas akan mendapat ganjaran daripada Allah sebaiknya. Suami yang terlalu
berkira, tidak mendatangkan keuntungan kepada keluarga.
6 Suami yang bertanggungjawab sentiasa menilai
prestasi dirinya sama ada telah melakukan sesuatu yang terbaik mengikut apa
yang diperintahkan agama atau sekadar menjalankan tugas. Penilaian pasangan dan
keluarga akan membantu mengesan prestasi diri sama ada baik ataupun sebaliknya.
- See
more at:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/suami-berkira-1.32564#sthash.kuILuc82.dpuf
0 comments:
Post a Comment